Monday, July 16, 2012

AHLAN YA RAMADHAN...LAPAN LANGKAH MENYAMBUTNYA

Insha Allah, beberapa hari lagi, Ramadhan bakal tiba dengan membawa pelbagai kelebihan dan keistimewaan. Persoalannya, sudahkan kita bersedia untuk menyambut kedatangannya?

Berikut dicadangkan LAPAN LANGKAH untuk menjadikan Ramadhan kita lebih baik pada tahun ini. Saya ringkaskan dengan Lapan Huruf bagi R.A.M.A.D.H.A.N.

R - Rasai kegembiraan dan keseronokan dengan ketibaannya

Setiap orang Islam yang beriman akan merasa amat gembira dan seronok apabila ramadhan semakin hampir. Sebaliknya, manusia yang tidak beriman akan merasakan sebaliknya, seolah-olah satu beban akan menimpa mereka. Apabila masuk bulan Rejab dan Sha'ban, orang beriman akan sentiasa berdoa agar dapat sampai ke bulan Ramadhan. Apabila tiba ke bulan Ramadhan mereka akan terus mengucapkan syukur atas nikmat itu dan saling memberikan ucapan "selamat menyambut ramadhan almubarak" sesama rakan dan sanak saudara. Ini adalah kerana mereka ketahui betapa banyaknya kelebihan dan kenikmatan yang Allah berikan kepada orang yang beriman dengan kedatangan Ramadhan.yang mulia ini. Antara kelebihan dan kenikmatan tersebut, seperti mana diterangkan dalam Al Quran dan Al Hadith ialah Ganjaran Pahala Berlipat Ganda , Rezeki Melimpah  Ruah, Mudah Beramal Ibadah, Syaitan Dikunci, Lailatul Qadar, Doa Mudah DiMaqbulkan, dan Dosa-Dosa Diampunkan.

A - Ambil tahu kelebihan, hukum-hakam dan cara-cara menghayati Ramadhan dengan lebih baik

Apabila Ramadhan semakin hampir, hendaklah kita mula menambahkan ilmu pengetahuan dengan lebih rajin mendengar Tazkirah dan Ceramah serta banyakkan membaca buku dan bahan mengenai Ramadhan, Puasa dan Amalan-Amalan Terbaik yang perlu diamalkan. Sebelum ini, kita mungkin lebih banyak beramal di bulan Ramadhan berdasarkan sedikit ilmu yang pernah diperolehi di zaman persekolahan dan juga dengan mengikut-ikut cara nenek moyang, ibu-bapa, dan masyarakat sekeliling melakukannya. Kadang kala, dikhuatiri amalan kita hanya menjadi secara "tradisi" sahaja. Bagi meningkatkan kualiti puasa dan ramadhan kita, elok kita mendalami lagi ilmu kita terutama dengan mengkaji bagaimana Rasulullah SAW, para sahabah, para tabien, dan ulamak-ulamak melaksanakan ibadah puasa mereka dan bagaimana mereka menghayati bulan Ramadhan mereka setiap tahun.

M - Mula dengan membuat rancangan dan persediaan rapi

Bak kata pepatah dalam bahasa Inggeris, "Fail to Plan is Planning to Fail" (Gagal merancang itu bermaksud Merancang untuk Gagal), amatlah penting kita mula membuat perancangan ramadhan kita untuk tahun ini. Perancangan merangkumi perkara-perkara berikut:

a. Meletakkan objektif dan sasaran (target) pencapaian.
- contohnya: Membaca Al Quran setiap Hari 1 juzuk , Solat Tarawih Setiap Hari di Masjid, Jumlah Sedeqah, Iktikaf selama 10 hari di Masjid, Menyempurnakan Bacaan Sebuah Buku/Kitab Agama, Hafal Al Quran/Hadith, Amalan baru untuk diperolehi (seperti berjamaah di masjid/surau), dan Amalan buruk yang ingin diubah.

b. Menjadualkan Masa Harian, Mingguan, dan Bulanan
-  contohnya : Baca 30 ayat setiap selepas waktu solat Fardhu, 10.00 mlm - 11.00 mlm tadarrus selepas Solat Tarawih, Tahajjud 5.00 pag - 5:15 pagi i setiap hari sebelum sahur, 5hb Ogos Berbuka Puasa Bersama Ibu Ayah.

A - Amalkan segala kewajiban dan kebajikan dengan penuh ikhlas

Ramadhan kita akan lebih bermakna apabila kita berjaya melaksanakan segala amal yang diwajibkan dengan sempurna dan ikhlas kerana Allah SWT. Bulan Ramadhan adalah bulan dibuka pintu-pintu syurga untuk kita memasukinya dengan pelbagai jalan-jalan kebajikan dan amalan ketaqwaan. Kewajiban seperti Puasa , Solat Fardhu lima waktu serta Zakat dan Amalan-amalan sunat seperti sedekah, solat tarawih, baca Al quran  mestilah dilakukan dengan sebaik yang mungkin (mengikut cara yang betul) dan penuh keikhlasan semata-mata mencari keredhaan Allah SWT. Disinilah juga  pentingnya peranan ilmu pengetahuan tentang ibadah-ibadah tersebut. Di samping itu, kewajiban, adab-adab serta akhlaq sesama manusia juga harus dijaga agar puasa dan ramadhan kita lebih berkualiti tinggi demi mendapatkan ganjaran pahala yang terbaik dari Allah SWT. Perbaiki perhubungan kita sesama insan, terutama dengan saudara mara, dengan memohon maaf di atas segala kesilapan kita dan berusaha menyelesaikan hutang-hutang kita (jika ada) dengan sesiapa sahaja.

D - Doa dan mohon Allah berikan kebaikan dunia dan akhirat

Bulan ramadhan adalah bulan di mana Allah mudah memaqbulkan doa kita. Bulan ini kita akan merasa amat dekat dengan Allah. Oleh itu, penuhilah dengan doa-doa bagi kebaikan di dunia dan akhirat untuk diri kita sendiri, keluarga, serta umat Islam seluruhnya. Mohonlah keampunan dan rahmat serta syurga daripada Allah SWT. Mohon juga agar Allah menjauhkan kita daripada bahana api neraka. Mohon Allah mudahkan kita untuk beramal soleh dalam bulan yang mulai ini dan menjadi Insan yang bertaqwa. Mohonlah doa dengan penuh pengharapan dan kesungguhan dengan hati yang tulus ikhlas agar Allah memaqbulkannya. Sebaiknya kita manfaatkan saat-saat waktu-waktu di mana doa amat mustajab seperti waktu sedang berpuasa, waktu selepas berbuka, di waktu sahur dan Lailatul Qadar.

H - Hindari segala perkara dosa dan amalan sia-sia

Alangkah ruginya kita, sekiranya dalam bulan ramadhan, terutama ketika kita sedang berpuasa, kita melakukan perkara-perkara yang mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah SWT. Amalan-amalan yang mendatangkan dosa seperti meninggalkan solat, menfitnah dan mengadu-domba, mengengkari arahan atau menyakiti hati ibu-bapa, mengumpat, membuka aurat di khalayak ramai hendaklah dijauhi. Elok bermohon ampun kepada Allah di atas segala dosa-dosa kita dan bertekad untuk meninggalkan dosa tersebut sebelum memasuki bulan Ramadhan. Selain itu, elok juga kita mengurangkan amalan-amalan yang tidak berfaedah seperti membuang masa, menonton filem atau rancangan TV yang kurang bermanfaat, membazir makan minum, menghisap rokok agar puasa dan tidur berlebihan di waktu siang agar ramadhan kita lebih baik.

A - Atasi segala cabaran dan dugaan dengan kesabaran

Bulan ramadhan memang penuh dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang datang untuk menguji demi meningkatkan darjat keimanan kita kepada Allah SWT. Kadang-kadang kita diduga dengan ajakan rakan-rakan yang kurang soleh/solehah untuk membuat sesuatu perkara dosa atau merugikan. Kadang-kadang nafsu kita sendiri meronta-ronta untuk berseronok dengan melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah atau perkara-perkara yang tidak baik. Beruntunglah jika kita yang berjaya menghadapi cabaran tersebut dengan penuh kebijaksanaan dan kesabaran. Nabi mengajar kita supaya berkata "Sesungguhnya Aku Berpuasa" apabila diuji dengan dugaan dan cabaran tersebut. Anggaplah setiap dugaan yang datang untuk menguji dan meningkatkan ketaqwaan serta hubungan kita dengan Maha Pencipta alam ini. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar dan mampu mengawal diri ke arah ketaqwaan.

N - Nilai kembali amalan dan perbaiki pencapaian

Untuk mempertingkatkan diri dalam bulan Ramadhan yang mulia, setiap insan hendaklah sentiasa membuat muhasabah dan penilaian diri. Saidina Umar berpesan "Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab". Oleh itu setiap hari, kita mestilah menyemak kembali pencapaian harian kita. Sejauhmanakah segala apa yang kita sasarkan dalam Rancangan Harian atau Mingguan kita telah tercapai dan apa yang dirancangkan telah terlaksana. Sekiranya ada sebarang pencapaian dan kejayaan, hendaklah kita bersyukur. Mohon ampun kepada Allah di atas segala dosa dan kekurangan. Segala kelemahan dan kekurangan diri, termasuk perkara-perkara yang belum dapat dicapai, hendaklah diperbaiki dan diguna pakai.

Itu sahaja sebagai sedikit perkongsian dan peringatan khusus untuk diri saya dan ahli keluarga. Moga-moga ianya bermanfaat untuk sesiapa yang membacanya. Semoga kita menjadi insan-insan yang dapat memakmurkan bulan Ramadhan tahun ini dengan sebaik-baiknya, diberikan rahmat dan keampunan, serta dimasukkan ke dalam syurga dan djauhi dari api neraka. Semoga segala amalan soleh diterima , dan segala kelemahan dan kesilapan diperbaiki dan diampunkan. Semoga kita menjadi graduan sekolah Ramadhan ini dengan "title" Al Muttaqin (Insan yang Bertaqwa. Aameen Ya Rabbal "Aalameen.


No comments: